Friday, July 01, 2011

MISTERI TEMPAYAN GERGASI DI LAOS (‘Mystery Plain of Jars’)

Beribu-ribu tempayan batu berada di sini. Siapakah yang menciptakannya?
Terletak di wilayah Xieng Khouang, Loas, ia bakal membuatkan anda tertanya-tanya mengapakah tempayan batu dicipta? Ia akan terus menjadi misteri kepada anda semua apabila melihat kebanyakan tempayan batu ini bersaiz besar sehingga mencecah ketinggian 1 meter hingga ke 3 meter tinggi. Dipercayai tempayan batu ini sudah wujud sekitar 2000 tahun lampau. Ia adalah bersamaan dengan permulaan zaman batu di Asia Tenggara!

Menurut rekod arkeologi, terdapat lebih kurang 136 tapak yang telah berjaya dicatatkan, meskipun terdapat begitu banyak namun hanya 3 tapak sahaja dibuka. Ini kerana, tapak-tapak lain tidak selamat untuk dibuka kepada para pelancong kerana di dasar tanahnya tertanam beribu-ribu periuk api hasil daripada Perang Vietnam pada tahun 1970-an!

Walaubagaimanapun semenjak tahun 1980-an, Syarikat Mines Advisory Group (MAG) telah mulai menjalankan kerjasama bersama-sama kerajaan Loas untuk membersihkan tapak arkeologi tersebut daripada bahaya periuk api. Sehingga ke hari ini, projek tersebut masih lagi terus berjalan.

Lokasi 'Plain of Jars' (segitiga biru)
Walaupun hanya terdapat 3 buah tapak sahaja yang dibuka, ia sudah cukup untuk menggamit hati para pelancong. Dengan 3 buah tapak ini juga, ia sebenarnya sudahpun memadai untuk kita semua memikirkan untuk APAKAH tempayan² batu sebesar ini dicipta dan SIAPAKAH pula yang menciptakannya?

Sehingga ke hari ini, tiada siapapun yang dapat memberikan jawapan yang paling bernas dan diyakini paling tepat untuk menjawab semua misteri pembinaan tempayan batu raksasa ini. Hampir kesemuanya hanyalah sekadar teori yang tidak mempunyai bukti-bukti yang kukuh dan konkrit. Wallahualam.

Kelihatan para pelancong dari luar negara.
HASIL KAJIAN AHLI ARKEOLOGI
Seorang ahli geologi amatur berbangsa Perancis yang bernama Madeleine Colani telah menjalankan kerja-kerja arkeologi di sini pada awal tahun 1930. Beliau mendakwa tempayan batu gergasi ini dicipta untuk dijadikan ‘keranda’ bagi masyarakat zaman batu tersebut! Ini dikuatkan dengan penemuan banyak rangka-rangka manusia dan juga barang kemas serta pasu seramik di sekitar tempayang batu berkenaan.

Pada tahun 1994, Professor Eiji Nitta dari Kagoshima University telah berkerjasama dengan Lao Archaeologist Thongsa Sayavongkhamdy bagi menjalankan kerja-kerja penyeliaan dan pemetaan di Tapak 1. Dan beliau juga secara peribadi menyokong teori yang dikemukakan oleh Madeleine Colani pada tahun 1930-an tersebut.

Adakah benar tempayan² batu ini digunakan sebagai 'keranda'?
LAGENDA MASYARAKAT TEMPATAN
Namun menurut cerita masyarakat tempatan, tempayan batu ini telah dicipta bagi tujuan menghasilkan Lao Lao Wine iaitu sejenis arak beras. Kegunaan tempayan batu ini adalah untuk memeramkan arak tersebut sehingga rasanya berubah menjadi ‘masam’.

Menurut lagenda masyarakat tempatan juga, pada zaman dahulu terdapat suatu kaum gergasi yang diketuai oleh Khun Cheung. Khun Cheung telah mengarahkan kaumnya untuk membina tempayan ini bagi tujuan menghasilkan Lao Lao wine demi meraikan kemenangan mereka selepas satu siri peperangan yang hebat yang melibatkan masyarakat mereka.

Namun terdapat juga versi lagenda lain menurut masyarakat setempat. Versi itu pula menceritakan bahawa tempayan² ini sebenarnya dicipta untuk tujuan menadah hujan yang turun pada musim monsun. Air hujan di dalam tempayan batu gergasi itu kemudiannya akan digunakan untuk pelbagai kegunaan masyarakat tempatan. Ia juga akan digunakan oleh para pengembara sebagai bekalan air minuman mereka.

No comments:

Post a Comment